Sunday, August 5, 2012

Tiada kami mempunyai kuasa melainkan dengan izin Allah.

Seseorang hamba Allah s.w.t. yang menghayati bahawasanya, tiada yang berkuasa dalam kewujudan ini dengan kuasa yang mutlak melainkan Allah s.w.t., pasti akan merasakan kekurangan dan ...
kelemahan diri di hadapan Allah s.w.t.. Pada ketika itu, penyaksian hatinya terhadap kekuasaan Allah s.w.t. membuatkan dirinya sentiasa merasakan dirinya memerlukan Allah s.w.t. dalam setiap saat kerana pada hakikatnya, tiada daya dan upaya bagi seseorang melainkan dengan bantuan Allah s.w.t..

Allah s.w.t. yang menganugerahkan nikmat keupayaan dan kuasa dalam diri seseorang manusia dalam rangka untuk berusaha dan melakukan perbuatannya, namun kuasa dan keupayaan yang terkandung dalam diri seseorang tidak terlepas daripada kekuasaan Allah s.w.t. kerana sifat keupayaan yang dimiliki oleh manusia adalah daripada sifat kuasa Allah s.w.t. itu sendiri.

Seseorang yang menghayati perasaan ini adalah orang yang telahpun teralisasinya makna La Haula wa La Quwwata illa biLlah (Tiada daya dan upaya melainkan dengan bantuan Allah) dalam dirinya. Ungkapan tauhid ini mengandungi rahsia keagungan ketuhanan Allah s.w.t. dan rahsia ketinggian kehambaan seseorang hamba itu sendiri jika dia menghayatinya lalu menterjemahkannya ke dalam kehidupan.

Seseorang yang tenggelam dalam lautan penyaksian wahdah (kesatuan sifat-sifat Allah) pasti menghayati bahawasanya manusia dan seluruh alam ini tidak pernah terlepas daripada kekuasaan Allah s.w.t.. Oleh yang demikian, seseorang itu tidak mampu untuk keluar daripada kehambaan diri mereka kepada Allah s.w.t. lalu memilih untuk tidak mentaatiNya kerana penghayatan terhadap rasa kelemahan diri di hadapan kekuasaan Allah s.w.t..

Adapun orang yang lalai daripada penghayatan ini adalah orang yang terkeliru dalam memahami erti dirinya sendiri dan erti kehidupan di sekelilingnya sehingga terhijab daripada hakikat bahawasanya dia tidak terlepas daripada kekuasaan Allah s.w.t.. Hijab orang yang lalai tersebut adalah dirinya sendiri di samping makhluk-makhluk di sekelilingnya sehingga dia menyangka bahawasanya yang berperanan dalam memberi manfaat dan menolak kemudaratan daripada dirinya adalah dirinya sendiri dan makhluk-makhluk di sekitarnya, sedangkan pada hakikatnya, hanya Allah s.w.t. -lah yang Maha Pemberi Manfaat dan Maha Menolak Kemudaratan.

Namun, kerana seseorang yang lalai itu terhijab dengan perbuatan-perbuatan Allah s.w.t. (af'aal) melalui makhluk-makhlukNya (infi'al), maka dia gagal menghayati makna sebenar kewujudan seluruh makhluk tersebut iaitulah untuk menjadi tanda kepada kewujudan dan keesaan Allah s.w.t. yang Maha Zahir melalui perbuatan-perbuatanNya. Mereka yang terus terhijab dalam kepompong hukum sebab musabbab, kepompong adat tabi’e dan sebagainya sebenarnya tidak dapat menghayati konsep qudrah (kekuasaan), iradah dan ilmu Allah s.w.t. dalam kehidupannya.

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam menyebutkan kepada Saidina Ibn Abbas r.a. bahawasanya, jika seluruh makhluk berhimpun untuk menegah apa yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. ke atas seseorang itu, nescaya makhluk-makhluk tersebut tidak mampu untuk menegah ketentuan Allah s.w.t. kepada orang tersebut. Begitulah juga sebaliknya. (hadith sahih. Sila rujuk Al-Ar'biin oleh Imam An-Nawawi).

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih semua yang sudi bertandang di sini. Saya hargai komen anda, datang dan komen yer.

Salam Sayang semua.

Resepi Miang Kham

Bahan-Bahan : Daun Kaduk Kacang Kelapa Halia Limau nipis/kasturi Bawang besar Cili padi Udang kering Kelapa : isi kelapa dihir...