Banyaknya nikmat
Allah tidak terkira. Berakhir musim haji yang penuh barakah, muncul pula bulan
Muharam yang mengandungi pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang disediakan
untuk hamba yang beriman dan mengharap keredhaan-Nya.
Muharam adalah bulan yang mulia di sisi Allah taala.
Firman-Nya bermaksud:
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas
bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit
dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu
ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam
bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan perangilah
kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan
ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa.”
(At-Taubah 9:36)
Maksud bulan haram
yang disebut dalam ayat di atas, dijelaskan dalam sepotong hadis riwayat
al-Bukhari dan Muslim daripada Abi Bakrah r.a. (maksudnya):
“Ketahuilah bahawa sesungguhnya zaman beredar sebagaimana
keadaannya pada hari Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri
daripada 12 bulan. Empat daripadanya adalah bulan haram, iaitu tiga bulan
berturut-turut: Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam. Dan Rejab diapit oleh
Jamadilakhir dan Syakban.”
Di dalam ayat di
atas, Allah melarang manusia melakukan kejahatan dan kezaliman sama ada
terhadap diri sendiri atau terhadap makhluk-Nya yang lain dalam bulan-bulan
haram. Apakah ini membawa maksud pada bulan-bulan lain kejahatan dan kezaliman
tidak dilarang? Al-Qurtubi menjelaskan bahawa Allah menyebut bulan haram secara
khusus sebagai bulan yang diharamkan melakukan kezaliman sebagai tanda
memuliakan bulan tersebut, pada hal perbuatan jahat dan zalim dilarang
sepanjang masa dan tempat. Begitu juga dengan firman Allah mengenai musim haji
yang bernaksud:
“(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan
yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya
(dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri
dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa
mengerjakan ibadat haji...”
(Al-Baqarah 2:197)
Allah larang
membuat maksiat dan bertengkar dalam masa mengerjakan ibadah haji tidak bererti
di luar musim haji harus membuat maksiat dan bertengkar.
Yang manakah bulan haram paling afdal?
Ayat dan hadis di
atas menyebut bahawa terdapat empat bulan haram. Adakah semuanya sama atau ada
antara empat bulan itu lebih afdal daripada yang lain?
Menurut Ibn Rajab
(736H-795H), ulamak berbeza pendapat mana antara bulan haram yang paling afdal?
Al-Hasan dan lain-lain berpendapat yang paling afdal adalah bulan Muharam.
Pendapat ini ditarjih oleh sekumpulan ulamak mutakhirin. Wahab bin Jarir
meriwayatkan daripada Qurrah bin Khalid daripada al-Hasan, dia berkata:
“Sesungguhnya
Allah memulakan tahun dengan bulan haram dan menutupnya dengan bulan haram.
Maka tidak ada bulan dalam setahun, selepas Ramadan, lebih mulia di sisi Allah
selain bulan Muharam. Ia dinamakan bulan Allah al-Asomm (yang padu dan padat)
kerana tersangat mulianya.”
An-Nasa’i
meriwayatkan daripada Abu Dzar r.a. katanya: “Saya bertanya Nabi s.a.w., malam
apakah yang paling afdal dan bulan apakah yang paling afdal?” Baginda s.a.w.
menjawab (maksudnya):
“Sebaik-baik malam
adalah pertengahannya dan bulan paling afdal ialah Syahr-Allah (bulan Allah),
iaitu yang kamu panggil Muharam.”
Ibn Rajab
menambah, maksud Muharam bulan paling afdal yang disebut oleh Rasulullah s.a.w.
dalam Hadis ini ialah bulan yang paling afdal selepas bulan Ramadan.
Hadis lain yang
menunjukkan kelebihan bulan Muharam ialah yang diriwayatkan oleh Muslim
daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Puasa paling
afdal selepas bulan Ramadan ialah bulan Allah yang dimuliakan (Muharam). Dan
solat paling afdal selepas fardu ialah solat malam.”
Dalam hadis yang
disebut di atas, kita dapati Nabi s.a.w. menisbahkan atau menamakan bulan
Muharam ini sebagai bulan Allah. Ia sahaja sudah cukup untuk memberikan gambaran
betapa mulianya bulan ini.
Dalam bulan ini
telah berlaku satu peristiwa penting dalam sejarah Islam, peristiwa datangnya
pertolongan Allah memenangkan kebenaran yang dibawa oleh pesuruh-Nya dan
tumpasnya kebatilan yang cuba
dipertahankan oleh musuhnya.
Antara peristiwa
penting itu ialah Allah telah menyelamatkan Nabi Musa a.s. serta kaumnya
daripada ancaman Firaun yang zalim, manakala Firaun serta pengikutnya mati
lemas dalam keadaan yang hina.
Ibnu ‘Abbas r.a. menceritakan, apabila Nabi s.a.w. berhijrah ke
Madinah, baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ke-10 Muharam.
Nabi s.a.w. bertanya mengapa mereka berpuasa pada hari tersebut. Mereka
menjawab,
“10 Muharam adalah hari
berlakunya peristiwa besar di mana Allah telah menyelamatkan Nabi Musa a.s. dan
kaumnya serta melemaskan Firaun dan pengikutnya. Musa telah berpuasa pada hari
ini (10 Muharam) sebagai tanda bersyukur, maka kami pun ikut berpuasa.”
Mendengar jawapan itu, Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Maka
kita (umat Islam) lebih berhak dan lebih utama mengikuti Musa daripada kamu
(orang Yahudi).” Ibnu ‘Abbas menambah, maka Nabi s.a.w. berpuasa dan menyuruh
umat Islam berpuasa.”
(Riwayat
al-Bukhari dan Muslim)
Ahmad meriwayatkan
daripada Abu Hurairah hadis yang sama dengan menambah: “Hari itu (10 Muharam)
juga merupakan hari mendaratnya kapal Nabi Nuh di atas bukit Judi. Maka Nuh
berpuasa sebagai tanda syukur.”
Kelebihan puasa hari ‘Asyura (hari ke-10 Muharam)
Daripada Abi Qatadah r.a., seorang lelaki bertanya Nabi s.a.w.
mengenai puasa hari ‘Asyura. Baginda s.a.w. menjawab (maksudnya): “Sesungguhnya
aku mengharapkan Allah akan menghapuskan dosa satu tahun yang sebelumnya.”
(Sahih Muslim)
Daripada ar-Rabi’ binti Mu’awwiz , Rasulullah s.a.w. menghantar
utusan ke kampung-kampung orang Ansar di sekitar Madinah supaya menyampaikan
pesanannya:
“Sesiapa yang bangun pagi dengan niat berpuasa
pada hari ini (10 Muharam), hendaklah dia menyempurnakan puasanya. Dan sesiapa
yang bangun pagi tidak berpuasa, maka teruskanlah.”
Ar-Rabi’ berkata: “Selepas itu
kami sentiasa berpuasa pada hari ‘Asyura dan menyuruh anak-anak kecil kami
berpuasa. Kami membawa mereka ke masjid dengan membawa bersama permainan
daripada bulu. Apabila mereka menangis meminta makanan, kami beri mereka
permainan untuk melekakan mereka sehinggalah tiba waktu berbuka.”
(Riwayat
al-Bukhari dan Muslim)
Cara berpuasa
‘Asyura:
1. Yang paling
afdal ialah berpuasa pada hari kesembilan (tasu’a) dan ke-10 (‘asyura). Ini
berdasarkan Hadis riwayat Muslim daripada Ibnu ‘Abbas r.a. bahawa Nabi s.a.w.
bersabda maksudnya: “Sekiranya aku masih hidup pada tahun hadapan, aku akan
berpuasa hari kesembilan dan ke-10.”
2. Berpuasa pada
hari ke-10 dan ke-11. Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya:
“Hendaklah kamu
berbeza dengan Yahudi. Berpuasalah satu hari sebelumnya atau satu hari
selepasnya.”
(Riwayat Ahmad dan
Ibn Khuzaimah)
3. Berpuasa pada
hari kesembilan, ke-10 dan ke-11 kerana terdapat hadis Ibnu ‘Abbas yang
diriwayat secara marfu’ bermaksud: “Berpuasalah satu hari sebelumnya dan satu
hari selepasnya.”
4. Berpuasa pada
hari ke-10 sahaja. Hal ini berdasarkan hadis Abi Qatadah r.a. iaitu ketika
seorang lelaki bertanya Nabi s.a.w. mengenai puasa hari ‘Asyura, baginda
sallallahu alaihi wasallam menjawab (maksudnya):
“Sesungguhnya aku mengharapkan Allah akan menghapuskan dosa satu
tahun yang sebelumnya.”
(Sahih Muslim)
sumber : Malaysia Harmoni
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih semua yang sudi bertandang di sini. Saya hargai komen anda, datang dan komen yer.
Salam Sayang semua.