Ibn ‘Abbas
meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, Baginda
melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya:
"Apakah ini?".
Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari
yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil
daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda SAW bersabda:
"Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu," maka Baginda pun
berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa”. (Riwayat al-Bukhari)
A’isyah r.a berkata (maksudnya):
“Rasulullah SAW telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari A’syura, dan
apabila telah difardhukan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa
(hari A’syura) maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia
boleh berbuka (tidak berpuasa)”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Daripada ‘Aisyah r.a berkata yang
bermaksud: “Orang-orang Quraish di zaman jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura,
dan Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari A’syura. Maka apabila Baginda datang
ke Madinah, Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa.
Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadhan, ditinggalkan puasa pada hari
‘Asyura lalu Baginda bersabda: "Sesiapa yang mahu, maka dia boleh
berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh
tinggalkannya". (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Inilah beberapa contoh hadith sahih yang
menyebut tentang puasa pada hari ‘Asyura. Daripada hadith-hadith ini dapat
difahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib
sebelum daripada difardhukan puasa Ramadhan. Apabila difardhukan puasa Ramadhan
pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ianya tetap
digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut.
Inilah antara kesimpulan yang disebut oleh al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani
(wafat 852H) dan al-Imam Muslim (wafat 676H) ketika menghuraikan hadith-hadith
tentang puasa ‘Asyura ini.
(Rujuk Fath al-Bari, Kitab al-Saum, Bab Siyam Yaum ‘Asyura, 4/309, dan
al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum ‘Asyura’ 4/245).
Fadhilat Puasa Hari ‘Asyura
Sesungguhnya kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW bagi sesiapa yang
mengamalkan puasa sunat ini amatlah besar. Antaranya ialah apa yang
diriwayatkan oleh Qatadah (maksudnya): “Bahawasanya Rasulullah SAW ditanya
tentang puasa hari ‘Asyura, lalu Baginda SAW menjawab: "Ia menghapuskan
dosa setahun yang lalu". (Hadis sahih riwayat Imam al-Tirmizi).
Dalam riwayat yang lain pula disebutkan
bagaimana Rasulullah SAW begitu mengambil berat dan memberi keutamaan kepada
amalan puasa pada hari ‘Asyura ini. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Ibn
Abbas bahawa beliau pernah ditanya tentang puasa pada hari ‘Asyura ini, lalu
beliau berkata: “Aku tidak pernah ketahui bahawa Rasulullah SAW berpuasa sehari
kerana mencari kelebihannya di atas hari-hari yang lain kecuali pada hari ini,
dan Baginda tidak berpuasa sebulan kerana mencari kelebihan ke atas bulan-bulan
yang lain kecuali bulan ini, iaitu: Ramadhan”. (Riwayat Imam Muslim)
Selain daripada berpuasa pada hari ‘Asyura ini, kita juga digalakkan untuk
berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari ke-9 Muharram. Ini berdasarkan
beberapa hadis sahih, antaranya ialah:
Daripada Ibn Abbas r.a berkata
(maksudnya): “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut
mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai
Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi
dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sekiranya di tahun depan,
jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9". Ibn Abbas
berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih
dahulu.” (Riwayat Imam Muslim)
Daripada Ibn Abbas r.a berkata, bahawa
Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Sekiranya aku masih hidup hingga
tahun hadapan, nescaya aku pasti akan berpuasa pada hari ke-9". (Riwayat
Muslim).
Imam al-Nawawi (wafat 676H) dalam
menghuraikan hadis-hadis ini telah menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan
ulamak di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan yang lain-lain bahawa mereka
semua ini berpendapat bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10,
kerana Nabi SAW berpuasa pada hari ke-10 (‘Asyura) dan berniat untuk berpuasa
pada hari ke-9 (tahun berikutnya). Imam al-Nawawi menyambung lagi: “Sebahagian
ulamak berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9
dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang
hanya berpuasa pada hari ke-10”. (Rujuk: al-Minhaj syarh Sahih Muslim, Bab
al-Siyam, ( Beirut : Dar al-Ma’rifah , cet.7, 2000), jil 4, hal. 254).
Justeru, marilah kita merebut peluang
pada kesempatan bulan yang mulia ini untuk menambahkan amalan kita dengan
berpuasa sunat. Renungilah saranan yang diberikan oleh Rasulullah SAW seperti
mana yang diriwayatkan oleh Jundub bin Sufian bahawa Rasulullah SAW bersabda
(maksudnya): "Sesungguhnya solat yang paling utama selepas solat fardhu
ialah solat pada waktu tengah malam dan puasa yang paling utama selepas puasa
Ramadhan ialah puasa di bulan Allah yang kamu panggilnya Muharram".
(Hadis riwayat Imam al-Nasa’ie dengan sanad yang sahih).
Sumber : Haluan Malaysia
TQ ^^
ReplyDelete