PENGHAKIMAN PALING ANEH DI DUNIA
Selepas Samarkand jatuh ke tangan tentera Islam, padri besar negeri itu mengutus surat kepada khalifah Islam, Amirul-Mu’minin Umar bin Abdul Aziz.
Di dalam surat tersebut dia mendakwa panglima tentera Islam, Qutaibah serta angkatan tenteranya telah memasuki Samarkand tanpa amaran dan tanpa seruan dakwah kepada Islam.
Umar mengarahkan hakim yang dilantik untuk bertugas di Samarkand bernama Jumay’ supaya membicarakan kes yang didakwa oleh padri besar tersebut.
Hakim memanggil kedua-dua pihak, pendakwa (padri besar Samarkand) dan yang didakwa (Qutaibah, panglima angkatan tentera Islam). Qutaibah dipanggil oleh petugas mahkamah atas nama peribadinya, tanpa dikaitkan dengan sebarang gelaran.
Datanglah Qutaibah ke mahkamah. Dia duduk bersebelahan paderi besar Samarkand di hadapan hakim Samarkand yang muslim.
Hakim memulakan perbicaraannya dengan mengajukan soalan kepada paderi besar Samarkand:-
Hakim: Apakah dakwaan kamu wahai orang Samarkand?-
Paderi: Qutaibah dan tenteranya telah memasuki dan menakluki negeri kami tanpa menyeru kami kepada Islam terlebih dahulu dan memberi tempoh kepada kami untuk kami membuat keputusan mengenai pendirian kami!
Hakim berpaling kepada Qutaibah seraya bertanya:- Apa jawapan kamu terhadap dakwaan ini wahai Qutaibah?
Qutaibah: Peperangan adalah tipu muslihat. Samarkand merupakan negeri yang besar. Semua negeri-negeri di sekitarnya melawan kami. Mereka tidak menerima Islam dan tidak mahu membayar jizyah.
Hakim: Wahai Qutaibah! Adakah kamu telah menyeru mereka (penduduk Samarkand) kepada Islam atau membayar jizyah atau perang?
Qutaibah: Tidak! Sebaliknya kami terus serang mereka secara mengejut dengan alasan yang telah saya sebutkan tadi.
Hakim: Aku mendapati kamu telah mengaku. Dan apabila pihak yang didakwa mengaku, selesailah perbicaraan. Wahai Qutaibah! Allah tidak menolong umat ini melainkan dengan (berpegang kepada) agama, menjauhi tipu daya dan menegakkan keadilan.
Kemudian hakim mengisytiharkan keputusan penghakimannya:
Hakim: Kami memutuskan supaya semua orang Islam dikeluarkan dari bumi Samarkand, merangkumi pemerintah, tentera, orang-orang lelaki, kanak-kanak dan wanita. Mereka hendaklah mengosongkan kedai-kedai dan rumah-rumah mereka. Jangan ada seorangpun orang Islam yang tinggal di Samarkand!
Paderi besar terpinga-pinga,tidak percaya dengan apa yang dilihat dan didengarnya. Tanpa bukti, tanpa saksi, perbicaraan selesai dalam masa beberapa minit sahaja.
Paderi besar dan orang-orang Samarkand yang turut hadir dalam mahkamah ketika itu, tidak menyedari bahawa perbicaraan telahpun selesai kecuali setelah melihat hakim, Qutaibah dan para petugas bangun dan beredar.
Hanya beberapa saat saja selepas itu, penduduk Samarkand mendengar deringan suara loceng memenuhi angkasan, debu-debu berterbangan memenuhi setiap ruang dan bendera-bendera kelihatan berkibaran di sebalik debu-debu yang bertiupan. Mereka tertanya-tanya kehairanan, apa yang telah terjadi?
Lalu diberitahu kepada mereka bahawa pemerintahan Islam telah ditamatkan dan angkatan tenteranya telah ditarik keluar. Satu pemandangan yang sungguh menakjubkan dan menggemparkan.Dan terbenam sahaja matahari pada hari itu, anjing-anjing berkeliaran di jalan-jalan yang sunyi, suara-suara tangisan bersahutan dari setiap rumah menangisi pemergian satu umat yang adil lagi penyayang dari negeri mereka.
Lantas paderi besar dan seluruh penduduk Samarkand tidak dapat menahan diri lebih lama lagi. Mereka keluar berarak beramai-ramai dikepalai paderi besar menuju ke arah angkatan tentera Islam sambil melaungkan syahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah.Ya Allah!
Betapa hebatnya kisah ini. Betapa gemilangnya lembaran sejarah Islam yang agung.Pernahkah anda dengar satu angkatan tentera menakluk sebuah kota, kemudian penduduk kota itu membuat dakwaan ke atas tentera yang menakluk, dan akhirnya tentera yang menakluk itu kalah dalam perbicaraan dan diperintahkan keluar dari kota yang telah ditakluknya?
Demi Allah! Kita tidak akan temui kisah serupa ini dalam sejarah mana-mana umat di dunia ini selain dari umat Islam!
Dipetik dari buku ‘Qasas min at-Tarikh’ oleh Syaikh Ali at-Tantawi
subahanallah
ReplyDeletesubhanallah and great piece of sharing dear...
ReplyDeleteSungguh adil dan bijaksana hakim Islam pada zaman itu. =)
ReplyDeleteZH Blogger
Allahuakbar.
ReplyDelete